Friday 11 January 2013

Keratan Harian Metro

Lali cemuhan masyarakat

Oleh Nordiana Shafiee
am@hmetro.com.my

ALOR SETAR: Biarpun dicemuh masyarakat kerana membela lebih 400 anjing, ia tidak menghalang pasangan suami isteri, Md Azmi Ismail, 54, dan Halija Idris, 64, untuk terus memelihara haiwan berkenaan di Belakang Taman Sultan Abdul Halim, Jalan Tanjung Bendahara, dekat sini.
Md Azmi berkata, tidak terlintas untuk membela haiwan berkenaan, tetapi terdetik hati untuk menjaga dan merawat haiwan itu apabila kasihan melihat anak anjing cedera di dalam longkang berhampiran sebuah pasar raya, kira-kira 10 tahun lalu.

Katanya, sejak itu dia dan isteri akan membawa pulang seberapa banyak anjing terbiar yang dijumpai di jalanan ke rumah mereka di Taman PKNK, sebelum mengambil keputusan berpindah ke kabin yang dihuni sekarang.
Menurutnya, mereka sudah lali mendengar cemuhan orang ramai apabila melihat mereka memegang anjing.

“Dulu, saya hanya memberi makan anjing dan kucing di kawasan perumahan, namun berikutan pandangan tidak senang jiran, kami mengambil keputusan berpindah dari situ.

“Bermula dengan seekor anjing, kini bilangannya mencecah 420 anjing pelbagai jenis serta 200 kucing,” katanya yang ditemui di sini, semalam.
Bekas pekerja kontrak itu berkata, setiap hari isterinya menyediakan makanan untuk semua haiwan terbabit yang memerlukan lebih 40 kilogram (kg) beras dan 10 kg ikan membabitkan kos RM500.

Katanya, selain memberi makanan kepada semua haiwan di situ, mereka berdua merawat anjing atau kucing yang sakit, malah di pusat perlindungan haiwan terbiar itu ada kira-kira enam anjing kurang upaya, termasuk menghidap penyakit ala sindrom down dan kanser kulit.
“Walaupun terpaksa menanggung kos tinggi, kami gembira kerana sehingga kini saya tidak pernah berdepan dengan masalah dalam menyediakan makanan dan ubat-ubatan.

“Banyak pihak terutama individu tampil membantu menaja makanan serta ubat untuk haiwan di sini, serta membina tempat perlindungan baru yang berharga lebih RM30,000,” katanya.

Menurut Md Azmi, haiwan di situ bagaikan anak-anaknya dan mereka suami isteri tidak sanggup menjual haiwan itu walaupun pernah ditawarkan lebih RM1,000.

Bagi Halijah, biarpun pernah dicakar haiwan berkenaan, namun dia tidak benci, sebaliknya semakin sayang dan akan terus membela haiwan itu.

“Masa kami suami isteri banyak dihabiskan untuk haiwan di sini walaupun kami terpaksa tidur dalam kabin dikelilingi haiwan comel ini.

“Saya gembira kerana dapat berbakti kepada anugerah Allah ini walaupun dipandang serong masyarakat. Namun, keikhlasan kami turut dihargai sesetengah pihak hingga ada yang sudi menanggung kos ubat atau rawatan haiwan yang sakit,” katanya.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, dia tidak pernah menyesal dengan tindakan mereka berpindah dari rumah sendiri dan tinggal dalam kabin semata-mata ingin menjaga haiwan terbiar.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/20

No comments:

Post a Comment